Search
Close this search box.

Bantuan awal persekolahan disalur ikut rekod sekolah, kata Fadhlina

Picture of Cikgu Mimie

Cikgu Mimie

fadhlina-pelajar-sekolah
Facebook
Twitter
Telegram
WhatsApp

Ibu bapa dan penjaga tidak perlu mengisi borang permohonan untuk mendapatkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 yang diumumkan Isnin lepas kerana ia akan disalurkan mengikut rekod yang ada di sekolah anak masing-masing, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Bercakap kepada media selepas Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Kaunselor Pendidikan di sini hari ini, beliau berkata BAP yang akan disalurkan Januari 2024 kepada setiap pelajar, akan dibuat sama seperti sebelum ini.

“(BAP) untuk semua pelajar. Kami mengekalkannya seperti tahun lepas. Dia (nama pelajar) memang ada di sekolah, rekod itu sudah ada, mereka (ibu bapa dan penjaga) hanya perlu pergi ke sekolah dan ambil macam biasa. Itu proses macam biasa, macam tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Isnin lepas, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Jumaat lepas, khusus untuk tujuan BAP.

Kementerian memaklumkan bayaran BAP akan diberikan secara sekali bayar melalui sekolah dan diagihkan kepada murid secara tunai atau kredit ke akaun masing-masing, yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM komited untuk mencapai sasaran nisbah seorang guru kaunseling bagi 250 murid sekolah rendah dan menengah bagi memastikan saranan dan intervensi yang diperlukan klien berjalan dengan efisien dan efektif.

Tanpa menyatakan berapa nisbah terkini dan bila sasaran itu akan dapat dicapai, beliau berkata KPM bekerja keras untuk memastikan sasaran itu dapat dijayakan.

Sementara itu ketika berucap, Fadhlina berkata pendekatan kaunseling khusus kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) perlu diberikan tumpuan.

“Dalam memberikan perkhidmatan kepada MBPK, guru bimbingan dan kaunseling perlu memahami aspek silang budaya, iaitu dalam konteks ini adalah budaya MBPK yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) .

“Justeru, guru bimbingan dan kaunseling perlu lebih kreatif dan membuat inovasi supaya proses bimbingan dan kaunseling yang khusus dan lebih sesuai dapat dijana dan dilaksanakan terhadap klien MBPK,” katanya.

Pada majlis itu, Fadhlina turut melancarkan enam dokumen iaitu Pelan Pembangunan Kompetensi Kaunselor Pendidikan Serta Guru Bimbingan dan Kaunseling; Buku Panduan Intervensi Krisis; Modul Pelaksanaan Intervensi Krisis; Pelan Strategik Perkhidmatan Psikologi Kaunseling KPM 2023/2025; Panduan Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling KPM dan Kit Pasca Insiden Bunuh Diri Dalam Talian. – Bernama

Sila komen di sini