INDONESIA mula menguji vaksin Covid-19 buatan sendiri terhadap manusia hari ini selepas mendapat lampu hijau daripada badan pengawal selia dadah ketika negara itu berdepan gelombang peningkatan kes.
Penyelidikan mengenai vaksin “Merah Putih” – dinamakan sempena warna bendera negara Indonesia – diketuai Universiti Airlangga dan Biotis Pharmaceutical Indonesia.
Projek itu mengalami kelewatan sejak dimulakan pada 2020, tetapi pihak berkuasa kini berharap untuk membenarkan penggunaannya menjelang pertengahan 2022 jika percubaan itu berjaya.
Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin berkata ubat itu, yang akan dilancarkan pada peringkat akhir kempen vaksinasi Indonesia yang akan dijadikan sebagai suntikan penggalak atau sebagai vaksin untuk kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun.
Malah, katanya ia juga boleh didermakan kepada negara lain.
“Saya telah membincangkan perkara ini dengan presiden dan beliau telah bersetuju untuk menggunakan vaksin ini sebagai sumbangan kepada negara yang memerlukan,” kata Sadikin pada majlis pelancaran ujian vaksin tersebut terhadap manusia di Surabaya.
Fasa pertama dan kedua ujian klinikal akan melibatkan 90 dan 405 sukarelawan dewasa.
Vaksin Merah Putih telah mendapat pensijilan “halal” daripada Majlis Ulama Indonesia, badan ulama tertinggi negara majoriti Islam itu, menurut dekan Universiti Airlangga, Mohammad Nasih.
“Kami berharap dengan pensijilan halal ini, keyakinan orang ramai untuk menggunakan vaksin ini akan lebih tinggi,” kata Nasih kepada pemberita.
Indonesia meluluskan 13 jenis vaksin dan dos penggalak tetapi kebanyakannya menggunakan pelalian buatan China, dan telah bergelut untuk mendapatkan dos yang mencukupi bagi penduduknya yang berjumlah lebih 270 juta orang.
Kerajaan Indonesia telah menekankan kepentingan membangunkan dan mengeluarkan vaksin sejak awal pandemik itu. – AFP, 9 Februari, 2022.









