SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR)menetapkan pada hari Sabtu (19 November) sebagai Hari Pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya, Sabah.
Perkara itu diumumkan Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November.
Bagi pengundian awal pula, tarikh 15 November dipilih dan tempoh berkempen bagi PRU15 adalah 14 hari.
Sebelum ini, tempoh berkempen pada PRU14 adalah 11 hari manakalah PRU13 pula adalah 15 hari.
Abdul Ghani berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU Ke-15 dan PRK DUN Bugaya, Sabah adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Ogos 2022 yang dikemaskini sehingga 9 Oktober 2022.
Katanya, DPPR bagi PRU Ke-15 ini mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Abdul Ghani berkata, pengundi boleh membuat semakan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka boleh dibuat melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Semakan boleh dibuat mulai 31 Oktober 2022 (Isnin).










