PENGANJUR Piala Dunia Qatar 2022 hari ini melancarkan jualan tiket kejohanan bola sepak dunia itu dengan harga lebih murah.
Penduduk dan pekerja asing di negara itu berpeluang menyaksikan temasya itu secara langsung di stadium dengan harga serendah AS$11 (RM46).
Keputusan itu dibuat susulan kebimbangan berterusan terhadap Covid-19.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengumumkan jumlah peminat yang akan dibenarkan masuk ke stadium.
Piala Dunia pertama di negara Arab ini dijadualkan berlangsung dari 21 November hingga 18 Disember.
Sebelum ini, badan induk bola sepak dunia, FIFA membuka cabutan bertuah yang menawarkan tiket perlawanan individu pada harga serendah AS$69 (RM289.32) untuk peminat antarabangsa.
Ia bernilai kira-kira satu pertiga lebih murah berbanding Piala Dunia Rusia 2018, akan tetapi tiket untuk perlawanan akhir boleh mencecah sehingga AS$1,607 (RM6,738.15).
Layanan ke atas penduduk Qatar termasuk buruh migran menimbulkan kontroversi terhadap penganjur apabila boleh mendapatkan tiket dengan harga serendah AS$11 (RM46).
Peminat yang membeli pakej berbeza – untuk perlawanan individu atau mengikut pasukan atau tiket stadium khas – layak menyertai cabutan bertuah selepas tarikh akhir pertama pada 8 Februari.
Menurut FIFA, peminat yang berjaya dalam cabutan bertuah itu akan diberitahu pada 8 Mac. – AFP, 19 Januari, 2022.