PENGUNDI di kawasan Shah Alam akan mendapat seorang ahli Parlimen baharu selepas penyandangnya, Khalid Samad diumumkan akan bertanding di kerusi Titiwangsa pada PRU15.
Pengarah Pilihan Raya Amanah Asmuni Awi berkata percaturan meletakkan Khalid di Titiwangsa berpandu kepada keputusan sama untuk mempertaruhkan Pengerusi PH Anwar Ibrahim di Tambun.
“Banyak lagi percaturan berisiko tetapi berstrategi tinggi akan diambil oleh (PH) untuk memastikan pengundi seluruh negara turun mengundi pada 19 November,” katanya seperti dilaporkan The Malaysian Insight.
Tambahnya, langkah mempertaruhkan bekas menteri wilayah itu di Titiwangsa melibatkan pengorbanan luar biasa Khalid yang menguasai Shah Alam selama tiga penggal sejak 2008.
Beliau mengakui Khalid bakal berdepan pertandingan sengit di kerusi yang kini diminati pelbagai pihak.
“Beliau akan mempertaruhkan rekod cemerlangnya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan untuk memastikan Titiwangsa kekal sebagai wilayah (PH),” kata Asmuni.
Menurutnya Khalid diterima pelbagai pihak berdasarkan kejayaannya meraih majoriti 33,849 undi di Shah Alam.
Parti Muda pada minggu lalu mengintai peluang bertanding di kerusi majoriti Melayu itu dan turut memperkenalkan aktivisnya, Siti Rahayu Baharin, 41 sebagai calon kawasan tersebut.